WARNA-WARNA FRIM

Buah ceri Terengganu yang masak ranum

Perupok atau nama saintifiknya Lepisanthes alata merupakan sejenis pokok rendang yang sederhana tinggi dan boleh mencapai ketinggian sehingga 10 meter. Pokok yang berasal dari Asia Tenggara ini mempunyai taburan yang meluas di Semenanjung Malaysia, Jawa, Borneo dan Filipina dan biasanya dijadikan sebagai pokok hiasan landskap di taman. Pokok perupok juga dikenali sebagai pokok johor atau ceri Terengganu. Di Jawa, pokok ini dikenali sebagai belimbing cina. Pokok perupok merupakan pilihan yang sangat baik untuk dijadikan hiasan taman kerana mayang daunnya yang terurai cantik. Daun muda atau pucuknya berwarna ungu muda kelihatan sangat menarik dengan bunganya yang juga berwarna ungu. Daun yang matang berwarna hijau, runcing dan mempunyai 8-12 helai anak daun (leaflets) pada satu mayang yang boleh mencapai kepanjangan sehingga 50 cm. Pokok ini jarang ditanam dan boleh dikategorikan sebagai pokok buah-buahan nadir. Musim berbunga dan berbuahnya tidak menentu tetapi boleh berlaku pada bila-bila masa di sepanjang tahun. Buahnya yang menarik tersusun bergugusan pada tangkai yang panjang dan setiap tangkai mempunyai sehingga 20 biji buah yang warna merah gelap dan berkilat. Saiz buahnya antara 2 cm hingga 3 cm, berbentuk bulat dan tajam di bahagian hujungnya dan setiap buah mempunyai satu hingga tiga biji. Isi buahnya manis dan sedikit kelat. Walaupun buahnya boleh dimakan, pokok ini biasanya ditanam untuk tujuan hiasan. Buah perupok digemari oleh burung dan kerana itu pokok ini boleh dijadikan tarikan untuk burung-burung datang ke taman. Lepisanthes alata digolongkan dalam famili Sapindaceae tetapi status pemuliharaannya masih belum diketahui. Di FRIM, pokok ini boleh dilihat di halaman rumah Terengganu, Arboretum Buah-Buahan, Taman Botani Kepong dan berhampiran bangunan D13 (Perhutanan Bandar).

Young perupok fruits

Young perupok fruits

Luscious looking perupok fruits hang temptingly

Luscious looking perupok fruits hang temptingly

Perupok tree near FRIM’s Terengganu house can be seen fruiting heavily and attracting birds to feast

Perupok tree near FRIM’s Terengganu house can be seen fruiting heavily and attracting birds to feast

The pale purple shoots of perupok

The pale purple shoots of perupok