WARNA-WARNA FRIM

Hutan “bunga api” selepas hujan ribut

Orkid Bulbophyllum vaginatum berkembang dengan sekelompok filamen bunga yang berwarna krim, persis bunga api. Berasal dari family Orchidaceae, gugusan bunga orkid ini boleh membesar sehingga 12 cm. Spesies ini sesuai dengan udara yang panas serta berkelembapan tinggi. Ia juga menggemari persekitaran yang separa bertutup, sebab itulah kita sering dapat melihat pokok ini tumbuh di atas kebanyakan pokok besar yang rendang dan dalam kuantiti yang banyak, lazimnya pada pokok berusia yang terdapat di kawasan terbuka. Spesies orkid ini banyak terdapat di Malaysia dan kebiasaannya akan berbunga 2-3 kali setahun dan bertahan selama 2-4 hari. Selain Semenanjung Malaysia, Bulbophyllum vaginatum juga terdapat di Borneo, Semenanjung Thailand, Sumatera, Jawa dan Maluku.

Kebiasaannya, spesies epifit ini akan menjajah seterusnya menyelimuti keseluruhan dahan. Apabila berbunga, pokok tersebut kelihatan seolah-olah dipenuhi tompokan kecil bunga yang berwarna krim kekuning-kuningan itu. Gugusan bunga ini dipercayai terdorong oleh daripada hujan ribut petir dan penurunan suhu yang kebiasaannya berlaku selepas hujan menyebabkannya berbunga dengan banyak dan akan menarik perhatian sesiapa pun. Di FRIM, orkid ini berbunga pada minggu ketiga bulan September dan bertahan kira-kira empat hari. Warna dan bau yang menakjubkan menarik lebah serta serangga pendebunga untuk melakukan pendebungaan silang orkid ini. Orkid ini merupakan spesies simpodial yang membiak melalui pseudobulb yang bersambung antara satu sama lain pada bahagian dasarnya. Setiap pseudobulb mempunyai satu daun yang berbentuk bujur.

Di FRIM, orkid ini boleh dijumpai di beberapa kawasan, contohnya seperti di atas pokok bersebelahan dengan bangunan D1, di atas pokok hujan di hadapan bangunan Unit Latihan Perhutanan (ULP), di hadapan padang bola sepak serta di atas pokok berhampiran auditorium dan kafetaria.

Orkid ini boleh juga diperhatikan di pokok-pokok rendang lain yang terdapat di FRIM, dan jika nasib anda baik, anda mungkin berpeluang untuk melihat pokok-pokok tersebut diselaputi oleh orkid-orkid epifit ini. Orkid-orkid lain yang selalu dijumpai di FRIM termasuklah orkid harimau Grammatophyllum speciosum, Pomatocalpa dan orkid merpati Dendrobium crumenatum.

Artikel oleh Nor Azlin, M. F. Disiarkan pertama kali pada 28 September 2012.

 

forest-fireworks-3

Gambar diambil oleh Asmar Hassan pada 6 Mei 2015

forest-fireworks-2

Gambar diambil oleh Asmar Hassan pada 6 Mei 2015

forest-fireworks-3

Gambar diambil oleh Asmar Hassan pada 6 Mei 2015

forest-fireworks-2

Gambar diambil oleh Asmar Hassan pada 6 Mei 2015

forest-fireworks-3

Bulbophyllum vaginatum menghasilkan bunga yang cantik selepas hujan ribut

forest-fireworks-2

TFasa berbunga biasanya bertahan dua hingga empat hari .

forest-fireworks-4

Gugusan bunga Bulbophyllum vaginatum di atas pokok hujan di hadapan bangunan Unit Latihan Perhutanan (ULP).

forest-fireworks-4

Di kawasan-kawasan yang lembap, dahan-dahan pokok tua sering ditumbuhi orkid epifit yang menumpang untuk mendapatkan cahaya matahari, air dan nutrien