WARNA-WARNA FRIM
Jelutong : Pemandangan salji di FRIM
Jika angsana terkenal dengan hamparan kuningnya, jelutong Dyera costulata yang berbunga pula menghamparkan permaidani putih. Bumi di bawah jelutong yang berbunga seperti dilitupi salji oleh bunga putih kecil nan wangi memberikan satu pemandangan seperti di musim sejuk yang indah. Bunga yang gugur tidak bertahan lama di lantai hutan dan dengan itu jarang kelihatan. Di Malaysia kebanyakan pokok jelutong berbunga pada bulan Ogos atau Oktober tetapi di FRIM, ia sedang berbunga sekarang. Bunganya kecil (lebih kurang 2 mm) dan bersifat nocturnal, terbuka antara 5-7 malam dan berguguran pagi esoknya dari 5-7 pagi. Pembungaan bertahan selama 10 hari sebelum pucuk baru keluar. Buah muda akan kelihatan setelah 2 hingga 3 bulan selepas itu.
Jurufoto serta pecinta alam yang bernasib baik mungkin telah dapat menyaksikan keajaiban alam yang sementara ini apabila berjalan sepanjang Jalan Jelutong FRIM awal minggu ini. ‘Salji’ yang putih bersih kini telah bertukar coklat keemasan.
(Sila rujuk juga Jelutong : Pokok getah tempatan, Warna-warna FRIM, http://www.frim.gov.my/?page_id=7063&lang=ms)
Ditulis oleh Norhayati N. Disiarkan pada 12 Jun 2013. Cuaca mingguan 24° ke 34°C