WARNA-WARNA FRIM

Kolam berbunga emas, menggamit pandangan
No photos found matching your search criteria.

Aurum dalam bahasa Latin bermaksud emas, dan aureus, keemasan. Sebagaimana dibayangkan oleh nama sainsnya Utricularia aurea spesies ini berbunga kuning keemasan. Utricularia aurea yang juga dikenali sebagai rumpai ekor kucing atau rumpai ekor kuning ini adalah salah satu daripada tiga spesies utricularia terapung di Semenanjung Malaysia, dan yang paling biasa dijumpai. Ia tumbuh di pelbagai jenis habitat, termasuk kawasan air mati sungai, tasik semulajadi seperti Tasik Bera, serta badan air buatan manusia seperti terusan, parit, kolam dan sawah padi. Walau bagaimanapun, sawah yang telah menghadapi aplikasi baja atau racun rumpai secara berleluasa dan kolam lombong lama dengan keadaan eutrofik tidak berapa sesuai untuk tumbuhan karnivor asli ini. Oleh itu, kehadiran tumbuhan ini biasanya memberi petunjuk bahawa kualiti airnya agak baik.

Spesies utricularia yang lain biasanya bersaiz amat halus dan sukar dilihat, akan tetapi daun-daun terapung Utricularia aurea bersaiz agak besar dan senang dilihat walaupun tanpa berbunga atau berbuah. Jambak bunganya lurus atau bengkok di bahagian bawah, dan disokong oleh pelampung bercabang tiga untuk timbul diantara tumbuhan terapung lain yang meliputi permukaan air. Setiap jambak daun majmuknya boleh mencapai 1 m panjang atau lebih, dengan 1-2 jambak bunga pada setiap ruas.

Disediakan oleh Chew, M.Y. Disiarkan pada 27hb Februari 2013. Suhu sepanjang minggu 24º-33º C beserta hujan sementara dan ribut petir sebelah petang. Gambar oleh Chew, M.Y.