WARNA-WARNA FRIM

Lang kuik : Sang pemburu ular

Spilornicheela

“Crested Serpent Eagle’ atau Spilornis cheela mendapat namanya daripada sifatnya sebagai pemangsa yang memakan ular, haiwan merayap, tikus, reptilia dan burung-burung kecil. Perkataan ‘serpent” berasal daripada perkataan Latin yang bermaksud ular atau binatang yang merayap. Dikenali sebagai lang kuik dalam bahasa tempatan, burung ini boleh mencapai saiz sehingga 74 cm. Lang kuik tergolong di dalam keluarga Accipitridae. Memburu ular sangatlah berbahaya, namun burung pemangsa yang berwajah kuning bengis ini mempunyai kaki yang bersisik seakan-akan perisai untuk melindunginya daripada gigitan ular.

Kebiasaannya, burung ini akan memburu dari kedudukan yang tinggi di sekitar pinggiran hutan, hutan terbuka atau padang rumput basah. Walau bagaimanapun, menariknya di FRIM, lang kuik dapat dilihat berjalan di atas tanah untuk mencari makanan. Untuk melihatnya dengan lebih dekat, cuba lihat di atas tiang-tiang lampu atau dahan rendah di Jalan Jelutong, berhampiran bangunan Herbarium (B8) serta di sekitar kawasan Bukit Bujang dan Bukit Lagong. Kerap kali pada waktu tengah hari, burung pemangsa ini akan berlegar-legar di ruang udara di atas kawasan hutan FRIM sambil mengikut peningkatan arus terma. Kebiasaannya, lang kuik akan mengeluarkan bunyi seakan-akan wisel ”iluii..kii-kii-kii-kiiluii”, mirip bunyi pam tayar basikal dan akan berbunyi lebih nyaring sambil menaikkan jambulnya apabila keadaan mencemaskan.

Burung ini kebiasaannya terbang bersendirian, namun boleh juga ditemui terbang berpasang-pasangan dan akan terus tinggal serta berburu bersama-sama sepanjang tahun. Burung pemangsa ini tinggal di dalam semua jenis hutan, paya bakau dan hutan belukar sehingga ketinggian 1900 m di atas paras laut. Status konservasi bagi burung pemangsa ini diklasifikasikan sebagai ‘Risiko rendah’ berdasarkan Buku Data Merah IUCN.

Disiarkan pada 3 Ogos 2012. Suhu mingguan diramal antara 24°-33° Celsius, berawan tanpa hujan. Gambar oleh Nor Azlin, M. F.