WARNA-WARNA FRIM
Putat : si-pengembara laut
Barringtonia asiatica (famili Lecythidaceae) atau nama tempatannya putat laut merupakan spesies pantai. Buahnya yang boleh terapung menyebabkannya senang tersebar ke pulau-pulau dan juga pantai. Spesies ini boleh mencapai ketinggian sehingga 30 m dan selalunya mempunyai dahan bercabang. Kayunya digunakan dalam kerja pembinaan dan pembuatan kanu. Dalam perubatan tradisi, daun muda Barringtonia asiatica dan Morinda citrifolia (mengkudu) diramas-ramas di dalam air dan diminum untuk menyembuhkan sakit perut. Daun segar dilayur dan diletak pada luka atau kulit yang berkudis bagi mempercepatkan penyembuhan. Pucuk putat dimakan oleh rusa dan biasa juga dijadikan ulam oleh manusia. Biji benih putat yang kering sangat beracun dan boleh menyebabkan kematian. Buah, batang dan biji benih putat yang ditumbuk halus juga boleh digunakan untuk menuba ikan. Status pemuliharaan spesies ini ialah Kurang Terancam. Spesies ini berbunga dan berbuah pada sepanjang tahun. Pokok ini boleh dilihat di Kg Jawa dan berhampiran tempat letak kereta Bangunan D4.
*Foto oleh Norsham, Wan Nafizul, Azahari and Noor Azlin
Dikemaskini pada 4 Januari 2013. Suhu mingguan diantara 24° ke 32°C. Artikel Naimah C.L., Azahari M.Y. and Wan Nafizul W.M.