WARNA-WARNA FRIM
Ratu Pokok Berbunga
Amherstia nobilis kemungkinan merupakan pokok berbunga yang paling cantik dan sangat sesuai dengan gelarannya sebagai “Ratu Pokok Berbunga”. Taburan asalnya terhad kepada beberapa kawasan di Burma, sebab itulah digelar juga “Pride of Burma”. Nama saintifik pokok ini ialah sempena nama Lady Sarah Amherstia, salah seorang pengumpul tumbuh-tumbuhan yang termasyhur di Asia pada abad ke-19. Daun-daun baharunya kelihatan seperti sapu tangan, berumbai-umbai dari dahannya. Pada peringkat awal, warnanya kelabu, bertukar menjadi gelap keungu-unguan dan akhirnya berubah menjadi hijau apabila matang. Pokoknya boleh mencapai ketinggian sehingga 10 m. Amherstia nobilis mengeluarkan bunga sepanjang tahun. Bunganya berwarna merah, berbintik-bintik kuning kelihatan seperti orkid yang besar. Pokok ditanam menggunakan biji benih, walaupun jarang ditemui, cara tut merupakan kaedah pembiakan yang sesuai bagi pokok hiasan yang sungguh cantik ini.