WARNA-WARNA FRIM
Swietenia macrophylla : Mahogani daun besar
Mahogani merupakan sejenis pokok separa-malar hijau yang menggugurkan hampir kesemua daun-daunnya pada satu masa sementara daun baru mula keluar. Pada masa ini, Swietenia macrophylla, atau mahogani jenis berdaun besar boleh dilihat sedang menggugurkan daunnya dan boleh dilihat di pinggir Jalan FRI, jalan masuk utama ke FRIM. Pada hari yang berangin, daun-daun yang sedang gugur boleh dilihat berterbangan di jalan berhampiran simpang ke Bukit Bujang.
Swietenia macrophylla merupakan antara spesies komersial pertama yang ditanam di kampus FRIM bersama-sama dengan Shorea leprosula, Shorea bracteolata dan Shorea macroptera. Swietenia macrophylla yang berasal dari kawasan tropika Amerika tengah dan selatan tergolong dalam famili Meliaceae, famili yang sama dengan pokok sentang dan pokok neem. Pokok-pokok daripada genus Swietenia, terutama S. mahagoni and S. macrophylla amat berharga kerana kayunya yang keras dan berwarna kemerah-merahan. Kayu yang tahan ini digunakan dalam pembuatan perabot, pintu, panel, alat muzik, kapal, keranda, venir dan papan lapis.
Seperti nama spesiesnya (macro bermaksud besar dan phylla bermaksud daun), pokok ini berdaun besar dan panjangnya sehingga 45 cm. Bilangan dedaunnya pula sama di kedua-dua belah urat tengah. Buahnya besar, di dalam kapsul berwarna kelabu cair sehingga coklat yang panjangnya mencecah 40 cm, mengandungi sehingga 71 biji yang berkepak, 7 hingga 12 cm panjang. Buah ini dikenali sebagai “tunjuk langit” kerana ia seolah-olah mendongak ke langit. Jus “tunjuk langit” atau “sky fruit” dijual sebagai ubatan untuk memperbaiki edaran darah dan mencantikkan kulit. Penggunaan “tunjuk langit” sebagai bahan perubatan diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Disediakan oleh Noor Azlin Y. Disiarkan pada 8 Februari 2013. Cuaca mingguan 24° hingga 33°C dan hujan.
Daun-daun mahogani yang telah guguran. Gambar oleh Asmar Hassan.
|
Mahogany Daun dan Batang pokok. |
|
Pokok-pokok mahogani. Gambar oleh Asmar H.
|
Pucuk daun muda yang kemerah-merahan. Gambar oleh Asmar H.
|
|
Pokok mahogani boleh dilihat di kedua-dua sisi jalan utama FRIM. Gambar oleh Asmar Hassan.
|
Daun-daun mahagoni dalam pelbagai peringkat. Gambar oleh Asmar H.
|