WARNA-WARNA FRIM
Tabebuia: Trompet kuning
Terletak berhampiran kolam utama kedua di hadapan Bangunan Perhutanan (D3), pokok Tabebuia mula berbunga dan berkembangan pada minggu 22–29 Januari 2012. Spesies ini dipercayai sebagai Tabebuia ochracea yang berasal dari Brazil. Tabebuia ochracea hampir sama dengan Tabebuia chrysotricha (pokok trompet keemasan) yang merupakan pokok kebangsaan Brazil. Tabebuia tergolong dalam famili Bignoniaceae atau trompet yang menjalar. Bunga-bunga berwarna kuning yang berbentuk trompet menghiasi silara pokok dan menghampari kawasan jatuhannya umpama permaidani. Spesies daripada genus Tabebuia sering ditanam sebagai pokok hiasan terutamanya, Tabebuia pentaphylla. Status pemuliharaan pokok ini belum diketahui. Pokok ini berbunga lebat sekali lagi pada minggu terakhir Ogos 2013.
Artikel ditulis oleh Noor Azlin Y. Disiarkan kali pertama pada Januari 2012 di mana suhu mingguan pada sekitar 24°C hingga 35°C. Dikemas kini pada minggu terakhir Ogos 2013 di mana cuaca pada sekitar 24°C hingga 32°C.