MAKLUMAT TERKINI

Saintis tanah FRIM terima Anugerah Penyelidik Wanita Cemerlang
By Published On: Mac 9, 2022

9 Mac 2022 (Rabu) – Saintis tanah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr Jeyanny Vijayanathan telah menerima Anugerah Penyelidik Wanita Cemerlang bagi kategori kesuburan tanah dalam bidang Sains Pertanian daripada Venus International Foundation, India pada 5 Mac lalu.

Jeyanny menyampaian ucaptama beliau.

Jeyanny merupakan salah seorang daripada empat pembentang jemputan yang menyampaikan ucaptama pada majlis ‘Venus International Woman Awards (VIWA)’. Beliau menyampaikan pembentangan bertajuk, ‘The Journey of Unearthing Tropical Forests Soils for Sustainability’ berkenaan pencapaian dan cabaran sebagai seorang saintis tanah wanita.

Dari kiri: Sathiskhumar, Jeyanny dan Sarani Ghosal pada majlis anugerah. Jeyanny bersama sijil anugerah yang diterima.

Turut hadir, Dr Sarani Ghosal Mondal dari National Institute of Technology Goa, India dan Dr R. Sathiskhumar, Pengerusi VIWA.

VIWA memberi fokus kepada wanita yang bekerja dalam bidang sains pertanian; kejuruteraan; sains kesihatan dan perubatan; sains sosial dan kemanusiaan; sains pengurusan; serta sains haiwan dan veterinar. Tahun ini, seramai 974 pencalonan dari seluruh dunia diterima dan hanya 33 dipilih sebagai pemenang melalui pemilihan berdasarkan laporan jawatankuasa pakar dan perakuan jawatankuasa tertinggi.

Jeyanny, seorang saintis yang mempunyai pengalaman 17 tahun dalam bidang sains tanah dan nutrisi tumbuhan, merupakan Timbalan Presiden Persatuan Sains Tanah Malaysia serta ahli kimia berdaftar bawah Institut Kimia Malaysia.

Maklumat Terkini