MAKLUMAT TERKINI

Sistem HTD FRIM menang Anugerah Inovasi Negara 2013
By Published On: November 16, 2013

16 November 2013 (Sabtu): Sistem rawatan kayu dengan menggunakan pengeringan suhu tinggi (HTD) yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah memenangi Anugerah Inovasi Negara 2013 bagi Kategori Produk pada 14 November.

Abd Latif (kedua dari kanan) bergambar bersama pasukan penyelidik (dari kiri) Ramzul, Sik dan Choo selepas majlis penyampaian anugerah di KLCC.

Pasukan penyelidik FRIM terdiri daripada Dr Sik Huei Shing, Choo Kheng Ten dan Ramzul Ikhlas Ablah, membawa pulang trofi dan RM50,000 yang diterima di Majlis Penyampaian Anugerah Inovasi Negara (AIN) 2013 yang diadakan bersempena dengan Persidangan Kebangsaan dan Pameran Inovasi (NICE) 2013 dan Forum Inovasi Dunia Kuala Lumpur (WIF KL) 2013 dari 12 hingga 14 November.

Sebaik sahaja menerima berita baik ini, Ketua Pegarah (KP) FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod telah pergi ke lokasi majlis di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) untuk bersama-sama  meraikan kemenangan FRIM.

Abd Latif (duduk di tengah) memberi keterangan lanjut mengenai kepentingan sistem HTD kepada panel hakim di ruang pameran HTD di KLCC pada 13 November.

Abd Latif juga telah memimpin pasukan ini dalam menyampaikan taklimat mengenai sistem HTD kepada panel hakim yang terdiri daripada enam orang ahli semasa sesi penghakiman terakhir diadakan di KLCC pada 13 November lalu.

Dari kiri: Sik dan Choo sedang menunjukkan kepada para hakim kayu getah perbezaan antara kayu getah yang dirawat dengan HTD dan secara konvensional.

WIF KL 2013 yang berhasrat mewujudkan budaya inovasi baru telah dianjurkan bersama oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Yayasan Inovasi Malaysia.

Objektive AIN adalah untuk memberi pengiktirafan kepada usaha inovatif dan kreatif dalam menjana idea, inovasi dan produk baru dengan memanfaatkan sains dan teknologi ke arah pembangunan ekonomi negara.

Abd Latif (tengah) bersama mereka yang terlibat dalam pembangunan dan komersialisasi sistem HTD di ruang pameran finalis AIN di KLCC.

FRIM telah memperolehi paten untuk sistem HTD ini dari Pejabat Paten dan Cap Dagang Amerika Syarikat (USPTO) pada Mac 2013 serta dari Pendaftar Paten Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada Oktober 2013. FRIM juga telah memfailkan paten di enam buah negara lain iaitu Singapura, Thailand, Vietnam, Indonesia, China dan India.

Teknologi HTD ini merupakan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh industri kayu-kayan negara terutamanya pengeluar perabot berasaskan kayu getah berkaitan halangan serta syarat-syarat ketat perdagangan semakin ketat yang ditetapkan oleh pelbagai negara-negara maju dalam memastikan penggunaan produk-produk lebih mesra alam.

Maklumat Terkini