TENTANG KAMI
Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) adalah antara institusi yang terkemuka dalam penyelidikan perhutanan tropika di dunia. Ditubuhkan pada 1926, FRIM yang dahulunya dikenali sebagai Institut Penyelidikan Perhutanan menjadi sebuah badan berkanun sepenuhnya dengan ditadbir oleh Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Perhutanan Malaysia (MFRDB) bawah Kementerian Perusahaan Utama pada 1985. Sejak 2003, MFRDB dan FRIM dipindahkan ke bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Mulai 1 Oktober 2016, Akta FRIM telah dikuatkuasakan dan MFRDB digantikan oleh anggota Institut dengan tambahan empat orang wakil dari sektor korporat untuk membantu usaha komersialisasi. NRE telah disusun semula menjadi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) pada 2023.
Institut ini terletak di kawasan seluas 545 hektar bersebelahan dengan Hutan Simpan Bukit Lagong di Kepong, kira-kira 16 km di barat laut dari Kuala Lumpur. FRIM diterajui oleh Dato’ Dr Ismail Parlan sebagai Ketua Pengarah semenjak 2021 telah dianugerahkan pensijilan MS ISO 9001:2015 mulai 2017. FRIM telah ditetapkan sebagai Tapak Warisan pada April 2009 di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 dan diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan bawah akta yang sama pada Januari 2015. Kini, FRIM sedang menuju ke arah pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Dokumen pencalonan FRIM kepada UNESCO bagi sesi penilaian 2024/2025 telah dikemukakan pada 29 Januari 2024 kepada pihak sekretariat UNESCO di Paris.
Visi
Menjadi peneraju dalam penyelidikan, pembangunan, komersialisasi dan aplikasi perhutanan tropika menjelang tahun 2030.
Misi
Memperkasakan penyelidikan dan pembangunan, pemindahan teknologi dan penyelesaian permasalahan industri secara saintifik bagi memenuhi keperluan perhutanan tropika masa kini dan akan datang.
Objektif Umum FRIM adalah untuk:
- Menjana pengetahuan saintifik bagi pemahaman, pengurusan dan penggunaan sumber hutan
- Mencapai kecemerlangan dalam penyelidikan dan pembangunan dengan penggunaan alat saintifik terkini
- Mengkaji kepelbagaian biologi bagi menghasilkan produk berguna melalui penyelidikan dan pembangunan yang intensif
- Memajukan teknologi berkaitan bagi memenuhi keperluan industri perhutanan
- Mempakejkan hasil penyelidikan dan pembangunan untuk disebar kepada pelanggan
- Mengkomersialkan hasil penyelidikan dan pembangunan melalui pemindahan teknologi kepada pihak yang berminat
- Menyediakan perkhidmatan cemerlang untuk memenuhi kepuasan pelanggan
- Mewujudkan kerjasama strategik dengan agensi tempatan dan antarabangsa
- Meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan alam sekitar dan pemuliharaan kepelbagaian biologi hutan
Objektif Operasi FRIM adalah untuk:
- Menyediakan program pembangunan sumber manusia bagi melahirkan golongan saintis yang berwibawa dan kompeten
- Menyediakan suasana kerja yang kondusif bagi menggalakkan cetusan idea di kalangan saintis dan perhubungan lebih rapat dengan pelanggan
- Menyebarkan hasil teknologi, penyelidikan serta memberi perkhidmatan nasihat dan teknikal yang tepat dan profesional
- Menyediakan penyelesaian praktikal kepada masalah berkaitan pengurusan dan penggunaan sumber dan hasil hutan
- Menyediakan kemudahan dan memberi perkhidmatan profesional dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap alam sekitar
Fungsi
- Merancang dan melaksanakan penyelidikan bagi pembangunan sektor perhutanan dan pemuliharaan sumber hutan;
- Memperoleh dan menyebar maklumat hasil penyelidikan bagi meningkatkan pengurusan hutan dan penggunaan hasil hutan;
- Mengadakan hubungan kerjasama penyelidikan dan pembangunan perhutanan dengan badan-badan dalam dan luar Malaysia;
- Mengkomersial dapatan penyelidikan bagi pembangunan; serta menyediakan perkhidmatan nasihat teknikal, perundingan dan perkhidmatan lain berhubung dengan hutan dan industri berasaskan hutan;
- Menyediakan program latihan; dan meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan alam sekitar dan pemuliharaan kepelbagaian biologi hutan; dan
- Memperkukuhkan tadbir urus institut bagi menyokong R,D,C&I.
Dasar Kualiti Korporat FRIM
Komited menyediakan perkhidmatan penyelidikan dan perkhidmatan sokongan berkaitan dengan cekap dan berkesan bagi memenuhi keperluan pelanggannya. Kami akan memastikan semua yang bekerja dengan kami bersama-sama bertanggungjawab dan mematuhi standard kualiti yang telah ditetapkan. FRIM akan melaksanakan penambahbaikan berterusan bagi meningkatkan keberkesanan sistem berkaitan.
Dasar Kualiti Operasi
Kami di FRIM bertanggungjawab:
- menjalankan penyelidikan dan memberikan perkhidmatan yang berkualiti secara profesional bersesuaian dengan keperluan dan jangkaan pelanggan dalam bidang perhutanan tropika dan keluaran hutan,
- melaksanakan Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) secara berkesan untuk skop perkhidmatan penyelidikan, latihan, ujian & tentukuran, jualan, sewaan, perundingan dan khidmat nasihat yang memenuhi keperluan ISO 9001,
- memantau keberkesanan pelaksanaan SPK melalui maklum balas yang diterima daripada pelanggan,
- memastikan peningkatan secara berterusan ke atas objektif kualiti yang sedia ada melalui tindakan pembetulan dan pencegahan berdasarkan hasil analisis petunjuk kualiti yang dilakukan secara konsisten dan menyeluruh,
- memastikan semua prosedur dan perkhidmatan yang disediakan untuk pelanggan melalui proses penyemakan agar standard yang ditetapkan dapat dicapai,
- memastikan sebarang kegagalan dalam mencapai standard yang ditetapkan akan disemak dan dinilai untuk digunakan sebagai rujukan dalam proses peningkatan berterusan,
- memastikan dasar ini difahami oleh kakitangan FRIM melalui taklimat, mesyuarat dan pameran poster, dan
- memastikan setiap kakitangan FRIM melaksanakan polisi dan prosedur dalam semua aspek perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan.